Festival Teater Malaysia Peringkat Kebangsaan 2008 merupakan detik penting dalam lipatan sejarah kewujudan SIFAR dalam arena teater Malaysia. SIFAR telah mengharumkan nama Sarawak di peringkat kebangsaan apabila telah dinobatkan sebagai Johan Festival pada tahun itu. Pada tahun 2014, SIFAR sekali lagi mengharumkan nama Sarawak apabila mengulangi kejayaan merebut gelaran Johan Festival. Dua kejayaan di peringkat nasional itu telah meletakkan Sarawak sebagai sebuah negeri yang digeruni dalam arena teater Malaysia. Lebih manis lagi, SIFAR juga membolot anugerah-anugerah utama iaitu Pengarah Terbaik (2008, 2014), Pelakon Lelaki Terbaik (2008, 2014), Pelakon Pembantu Lelaki (2008) dan Wanita Terbaik (2014) serta Pelakon Harapan Lelaki (2008). Sejak penubuhan pada tahun 2006, SIFAR telah menghasilkan lebih dari 20 pementasan teater serta penganjuran aktiviti kesenian dan kebudayaan.